07 July, 2013

Keberkatan rezeki


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya."

Huraian Hadith:

1. Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.

2. Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.

3. Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya.
4. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

 


Yang penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita dapat tetapi sebaliknya ada atau tidak keberkatan dalam rezeki itu. Tanpa harta bagaimana kita nak melunaskan 2 daripada rukun islam yang wajib iaitu menunaikan haji dan membayar zakat. Maka sebab itulah kita dituntut untuk berusaha dan bekerja untuk menambah harta yang halal.



Di sini zu kongsikan antara kesan rezeki yang berkat oleh motivational speaker yang hebat Dr. Tengku Asmadi.
 
1) Kita sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang diperolehi sentiasa cukup malah berlebihan.
Tidak terfikirkah kita bagaimana orang yang tinggal di kampung dan luar bandar boleh membesarkan sepuluh orang anak dengan hanya membanting tulang menoreh getah atau menuai padi. Sedangkan kita di bandar dengan gaji beribu dan hanya dua tiga orang anak tidak pernah merasa cukup. Malah ada yang bergaji lebih sepuluh ribu ringgit tetap tidak merasa cukup. Jika rezeki kita berkat maka Allah akan cukupkan keperluan kita.

2) Akhlak dan perilaku suami, isteri dan anak-anak hebat.
Banyak masalah sosial anak-anak dan penceraian berlaku hasil dari rezeki yang tidak berkat.


3) Mudah menjaga solat dan melakukan ibadah lain seperti umrah dan haji.

Apabila rezeki yang diperolehi itu berkat, hati kita bersih dan minda kita tenang. Mudah bagi kita untuk solat dan beramal ibadat. Rezeki yang berkat akan memudahkan kita sampai ke tanah suci Mekah. Ramai orang yang mendapat rezeki yang tidak berkat takut untuk ke tanah suci kerana bimbang akan balasan Allah secara tunai di dunia ini. Walhal, tanah sucilah tempat untuk bertaubat, membersihkan diri dari dosa dan memohon keberkatan.

4) Orang di sekeliling suka kita.

Apabila rezeki kita berkat semua orang sayang kita. Sebab kita suka belanja mereka dan mehulurkan sedekah dan bantuan. Orang suka dekatikita kerana mereka dapat rasakan keikhlasan dan aura positif yang terpancar dari dalam diri kita.

5) Orang suka datang rumah dan menziarahi kita.

Rumah kita bagikan magnet. Ada sahaja saudara, kenalan atau jiran yang mengunjungi kita. Mereka yang datang itu akan bawa pahala dan pulangnya mereka akan menghapuskan dosa kita. Malah, rezeki pula bertambah murah dan ada sahaja yang kita perolehi tanpa disangka-sangka. Justeru, janganlah kita menolak kunjungan tetamu.

6) Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya.


Apabila rezeki itu berkat, jiwa dan minda anak-anak juga bersih. Jiwa dan minda yang bersih membolehkan mereka tumpu pada pelajaran dan apa yang dipelajari itu pula mudah difahami dan lekat dalam kepala. 

7) Doa yang makbul.

Keberkatan rezeki membuatkan permohonan dan doa kita dimakbulkan oleh. Sebab Nabi SAW memang ada menegaskan bahawa antara faktor yang menghalang makbulnya doa itu adalah makanan dari sumber yang haram.
 
 
 
 
Begitulah antara kesan positif yang diperoleh daripada rezeki yang berkat. Kita perlu faham rezeki yang berkat bukan sahaja bermakna bebas dari rasuah atau wang diperolehi daripada aktiviti yang haram. Ada ketikanya, sikap curi tulang, tidak amanah dalam kerja, tidak mencapai kualiti kerja, malas dan sebagainya sewaktu menjalankan pekerjaan boleh menyumbang kepada tiada keberkatan rezeki. Sebab itulah, dalam apa juga yang kita lakukan dalam mencari rezeki maka lakukanlah dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan amanah.

InsyaAllah..sama-sama muhasabah diri. Gaya bahasa menulis berubah tiba-tiba terikut emosi. Insaf. 

P/S : Sentiasa kagum dengan mak dan ayah mertua yang hanya bekerja kampung seumur hidupnya namun rezekinya sentiasa cukup dan anak-anak berjaya akhlak dan sahsiah. Di usia 70an masih membanting tulang mengusahakan hasil kebun dan menyawit. InsyaAllah ada rezeki bakal menunaikan haji buat kali kedua.
Posted with Blogsy
Copyright by www.zuraida.com. Powered by Blogger.

© Min Kaffe Bio Seleza Marine Essence Johor, AllRightsReserved.

Designed by Nur Zuraida Buang